4. NABI HUD
Nabi Hud merupakan keturunan ke-9 daripada Nabi Nuh. Nabi Hud berasal daripada keluarga yang dihormati dan berpengaruh serta berakhlak mulia, bijaksana dan berbudi luhur yang menyebabkan baginda terkenal sejak kecil lagi. Nabi Hud diperintahkan oleh Allah untuk menyeru kaum Aad yang semakin leka dan alpa daripada ajaran Allah kerana tergoda dengan kemewahan dunia.
Kaum Aad terkenal kerana memiliki kemewahan dan kekayaan yang melimpah ruah. Mereka mempunyai kebun yang luas dan hasil tani yang banyak. Mereka juga mahir membina bangunan-bangunan yang indah dan mempunyai rumah serta istana yang besar.
Disebabkan kemewahan itu kaum Aad lupa dan lalai akan segala perintah Allah. Mereka lupa bahawa semua kemewahan itu adalah datangnya dari Allah. Mereka sebaliknya ingkar dan menderhaka dengan menyembah berhala dan batu sebagai tuhan-tuhan mereka.
Nabi Hud sentiasa menyeru kaumnya agar menyembah Allah dan meninggalkan penyembahan berhala. Baginda menyeru kaumnya agar segera bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Namun begitu kaum Aad tetap sombong dan bongkak serta menolak akan segala seruan Nabi Hud. Mereka menganggap semua kekayaan dan kemewahan itu adalah daipada usaha mereka sendiri. Nabi Hud tetap bersabar dalam mengajak kaumnya ke jalan Allah.
Selama beratus tahun lamanya kaum Aad ingkar kepada perintah Allah, cuma sebahagian kecil sahaja daripada umatnya itu yang beriman. Akhirnya Allah menurunkan laknat dan bala kepada mereka. Allah turunkan angin kencang yang amat dahsyat sekali menyebabkan semua kaum Aad yang kufur bertempiaran lari menyelamatkan diri, namun tiada apa yang dapat menyelamatkan mereka daripada ancaman Allah walaupaun mereka bersembunyi didalam rumah-rumah mereka mewah itu.
Setelah keadaan cuaca kembali aman, tinggallah Nabi Hud dan pengikut-pengikutnya yang beriman kepada Allah sahaja yang terselamat dari ancaman itu.Mereka semua berpindah ke Hadramaut dan memulakan kehidupan baru disana dengan kehidupan yang penuh keimanan kepada Allah. Nabi Hud tinggal disitu sehinggalah baginda wafat.
No comments:
Post a Comment