Wednesday, September 19, 2012

KISAH 25 RASUL (NABI NUH)

3. NABI NUH

Nabi Nuh  merupakan keturunan yang ke 10 daripada Nabi Adam. Nabi Nuh diutuskan oleh Allah untuk menjadi rasul kepada penduduk di negeri Armenia yang telah ingkar kepada  perintah Allah selama beratus tahun lamamnya. Namun begitu hanya  segelintir sahaja yang menyahut seruan baginda yang mana  mereka terdiri daripada golongan yang miskin dan bawahan.

Ramai dari kaum Nabi Nuh yang mengejeknya dengan kata-kata yang kesat. Nabi Nuh sebaliknya menyeru kaumnya tentang balasan dan azab Allah kepada mereka yang ingkar. Namun begitu mereka tetap berdegil dan menentang segala ajaran yang disampaikan serta tidak menghormati kenabian Nuh dengan menuduhnya seorang yang pembohong dan pendusta.Malah mereka berani mencabar Nabi Nuh agar diturunkan azab sebagaimana yang dikatakan.

Pada suatu hari Allah memerintahkan Nabi Nuh membina sebuah bahtera yang besar. Nabi Nuh dan pengikutnya mulalah mengumpulkan bahan-bahan untuk pembinaan sebuah bahtera. Mereka tekun bekerja siang dan malam bagi menyiapkan pembinaan bahtera tersebut. Pembinaan dijalankan di sebuah tempat yang jauh bagi mengelakkan gangguan daripada kaumnya yang derhaka.

Apabila kaum Nabi Nuh yang ingkar itu mengetahui tentang kegiatan Nabi Nuh dan pengikut-pengikutnya, mereka mulalah mencemuh , mengejek dan mentertawakan  Nabi Nuh kerana membina bahtera yang jauh dari pantai. Bermacam-macam gangguan,ejekan, cemuhan dan olokan yang dibuat mereka, namun begitu Nabi Nuh dan pengikutnya tetap bersabar menyiapkan bahtera tersebut.

Nabi Nuh sebaliknya menerima segala ejekan itu dengan senyuman sambil mengingatkan mereka akan janji Allah dan tujuan bahtera itu dibina. Setelah bahtera itu siap dibina, Allah memerintahkan Nabi Nuh  agar bersiap sedia bersama-sama pengikutnya yang beriman. Allah juga memerintahkan Nabi Nuh membawa bersama sepasang daripada setiap jenis binatang yang ada ke dalam bahtera tersebut.

Pada suatu hari berlakulah satu banjir besar dan dahsyat melanda muka bumi. Air naik dengan cepatnya, disusuli dengan ribut dan angin kencang hinggakan seluruh kota dan desa samada yang rendah mahupun yang tinggi habis ditengelami air. Tiada tempat untuk berlindung hinggakan bukit bukau sekalipun semuanya ditengelami air. Hanya Nabi Nuh beserta isi kandungan bahteranya sahaja yang selamat.

Binasalah semua kaum Nabi Nuh yang ingkar itu ditengelami banjir besar. Kemudian dengan tiba-tiba air pun mulalah beransur surut diserap ke dalam bumi. Terdamparlah bahtera Nabi Nuh diatas sebuah bukit yang bernama Bukit Judi. Maka turunlah semua pengikut Nabi Nuh yang beriman kepada Allah bersama pasangan makhluk dari atas bahtera dan memulakan hidup mereka yang baru. Nabi Nuh hidup selama 950 tahun dan seluruh hidupnya digunakan untuk berdakwah kepada jalan Allah.







No comments:

Post a Comment